Translate

Tuesday, December 30, 2008

Sungai Siput banjir lagi

SUNGAI SIPUT  - Lagi-lagi  banjir . Buat kali kelapan sepanjang tahun ini - lima buah kampung terletak berhampiran  Sungai  Pelus di sini dilanda  banjir .

Kelima-limanya, Kampung Lasah, Kampung Trosor, Kampung Pulau Mentimum dan Kampung Lintang dan Kampung Tok Sirat dinaiki  banjir  sedalam kira-kira 1.5 meter sejak awal pagi semalam.

Seorang penduduk, Ahmad Faizul Zarizan, 31, dari Kampung Lasah berkata, seperti biasa,  banjir  berpunca daripada limpahan  sungai  berkenaan ekoran hujan lebat yang turun sebelum itu.

"Ekoran hujan lebat yang turun selama lapan jam semenjak pukul 8 malam semalam (kelmarin), air  Sungai  Pelus melimpah dan menenggelamkan sebahagian rumah penduduk termasuk rumah saya mulai pukul 7 pagi.

"Ia kali kelapan kampung kami dilanda  banjir  dan boleh dikatakan ia antara yang terburuk kerana kali ini, lebih 30 buah rumah telah separuh tenggelam," katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi penduduk, Noor Mohamad, 32, berkata, mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malah terputus hubungan ekoran sebahagian jalan raya ditenggelami  banjir .

"Beberapa ladang kelapa sawit dan getah milik penduduk kampung juga dinaiki  banjir . Kami rayu kerajaan negeri segera ambil tindakan agar masalah  banjir  ini segera diatasi," katanya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian  Sungai   Siput, Datuk Zulkifly Harun berkata, semua mangsa  banjir  terbabit dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Lasah di sini sementara menunggu  banjir  surut.

Beliau berkata, 100 rumah di kampung berkenaan dimasuki  banjir  namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Kosmo! 19 Disember lalu melaporkan, penduduk kampung terbabit mendesak kerajaan negeri supaya segera mendalamkan  Sungai  Pelus kerana ia dikatakan punca  banjir  kilat kerap berlaku di situ.

No comments:

Post a Comment