Translate

Friday, November 28, 2008

Siswa menimba ilmu usahawan

SERAMAI 36 pelajar tahun akhir Kolej  Poly-Tech  Mara Ipoh  membuat persiapan sebelum melangkah alam pekerjaan dengan menyertai Kursus Asas Usahawan Siswa yang berakhir semalam.

Kursus anjuran Bahagian Pendidikan Tinggi  Mara  itu diadakan selama lima hari bermula 24 November lalu mengikut modul yang ditetapkan oleh Institut Keusahawan Negara.

Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pendidikan Tinggi  Mara ,  Adam   Tambi berkata, kursus berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan tentang bidang keusahawanan kepada pelajar institusi kendaliannya.

Beliau berkata,  Mara  mahu pelajar kami tidak terlalu bergantung semata-mata untuk makan gaji, namun sebaliknya perlu berani menceburi bidang perniagaan.

"Kursus ini mendedahkan mereka teknik, peluang, potensi bidang keusahawanan selain dijanjikan bantuan pinjaman kewangan daripada agensi terlibat terutama Mara sendiri," katanya.

JPJ Perak tak ubah syarat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ )  Perak  menolak cadangan memansuhkan peraturan orang awam yang beralamat di luar negeri ini perlu dapatkan kebenaran daripada agensi itu dahulu sebelum dibenarkan belajar memandu di institut memandu (IM) di sini.

Pengarahnya,  Mad   Yasir   Mastakim  berkata, peraturan tersebut bertujuan untuk memastikan individu terbabit benar-benar pemastautin di  Perak  selain mengelak berlakunya penyelewengan di kalangan pengendali IM tempatan.

"Peraturan ini ditetapkan setelah ada segelintir IM di negeri ini pada suatu masa dulu menyalah guna kelonggaran diberikan  JPJ .

"Mereka memancing calon dari negeri lain terutamanya bersempadan  Perak  dengan berjanji akan memudahkan proses mendapatkan lesen memandu melalui cara salah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Kursus Pembaharuan Sijil Pengajar Institut Memandu yang melibatkan 396 tenaga pengajar memandu seluruh  Perak  di sini kelmarin.

Sebelum itu, seorang peserta dalam sesi dialog mengemukakan cadangan agar peraturan tersebut dimansuhkan kerana didakwa menyusahkan orang ramai terutamanya golongan pelajar yang mahu mendapatkan lesen memandu di  Perak .

Berikutan krisis 'lesen terbang' pada lewat 1990-an, JPJ  Perak  mengetatkan peraturan pengambilan calon memandu dengan menetapkan hanya penduduk asal dan pemastautin di  Perak  sahaja dibenarkan belajar memandu di IM di sini.

75 % guru memandu gagal

Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Ujian Undang-Undang Bahagian 1 yang pertama diperkenalkan Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ )  Perak  sebagai pra-syarat memperoleh Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) menyaksikan kira-kira 75 peratus kegagalan.

Pengarah  JPJ   Perak ,  Mad   Yasir   Mastakim  berkata, hanya kira-kira 139 calon daripada 396 tenaga pengajar memandu yang menjalani ujian tersebut lulus pada tahap ditetapkan.

"Tahap kelulusan sama seperti calon lesen memandu awam iaitu perlu menjawab betul sekurang-kurangnya 42 daripada 50 soalan disediakan.

"Saya agak risau juga kerana hanya 35 peratus daripada tenaga pengajar yang diuji lulus. Malah ada tenaga pengajar terbabit yang hanya berjaya menjawab 10 soalan sahaja dengan betul," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutup Kursus Pembaharuan Sijil Pengajar Institut Memandu yang melibatkan 396 tenaga pengajar memandu seluruh  Perak .

Mad  Yasir  berkata, begitupun JPJ Perak tidak akan mengantung lesen tenaga pengajar terbabit, sebaliknya akan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani ujian bertulis itu semula pada masa depan sehingga lulus.

Beliau berkata, sehubungan itu, agensinya akan mengadakan kursus dan bengkel kepada baki 257 tenaga pengajar yang gagal ujian terbabit bagi mem- perbaiki tahap pengetahuan teori undang-undang jalan raya mereka.

"Sebenarnya pelaksanaan Ujian Undang-Undang Bahagian 1 ini bukanlah bertujuan untuk menggagal atau menghukum tenaga pengajar terbabit.

"Ia lebih kepada menilai dan memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan prestasi institut memandu (IM) di negeri ini," katanya.

 Mad   Yasir  juga percaya kegagalan tenaga pengajar memandu terbabit bukan disebabkan mereka kurang fasih undang-undang jalan raya, tetapi kerana terkejut atau kurang bersedia untuk menghadapi ujian bertulis itu yang julung kali diadakan.

Sehubungan itu, beliau percaya tenaga pengajar di IM dan sekolah memandu berkenaan akan mendapat keputusan lebih baik dalam ujian berkenaan pada sesi akan datang.

Ucapan bye, bye terakhir

Oleh KUMARA SABAPATTY dan AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

BATU   GAJAH - "Pada hari kejadian,  Rodiah  berubah jadi pendiam dan tidak tegur sapa dengan sesiapa pun kecuali mengucapkan bye, bye (selamat tinggal) kepada saya selepas habis peperiksaan Pendidikan Seni".

Demikian cerita Nur Hafizah Taharuddin, 17, sahabat karib  Rodiah   Mohd .  Khairi , 17, yang meninggal dunia setelah motosikal yang dibonceng merempuh sebuah lori di Jalan Simpang Pulai-Lahad di sini kelmarin.

Katanya,  Rodiah  yang juga merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent St. Benedic di sini membonceng motosikal yang ditunggang Sharifah Zuhaila Said Mizuri, 17, rakan sekelas mangsa.

Mereka dikatakan menuju ke bandar untuk meraikan berakhirnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedangkan menurut Nur Hafizah,  Rodiah  masih perlu menduduki satu lagi kertas peperiksaan iaitu Prinsip Akaun pada 5 Disember depan.

Sementara itu, abang  Rodiah ,  Mohd . Saiful Taharuddin, 20, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Terap di sini berkata,  Rodiah  mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM.

Jelasnya,  Rodiah  anak kelima daripada tujuh adik beradik itu juga aktif dalam kegiatan kokurikulum dan disenangi oleh pelajar dan guru di sekolahnya.

"Pada pukul 5 petang semalam (kelmarin) dia meminta izin untuk keluar bersama kawannya Sharifah Zuhaila dengan motosikal, tak sangka pula tragedi ini terjadi," katanya.

Jenazah  Rodiah  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ara Payung, Taman Mewah di sini selepas solat Zuhur semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Trafik Ipoh, Deputi Supritendan  Mohd . Rodzi Rejab berkata, motosikal yang ditunggangi Siti Zaleha merempuh belakang sebuah lori yang tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Simpang Pulai-Lahad kira-kira 150 meter dari Balai Polis Simpang Pulai di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, kedua-dua pelajar terbabit yang dalam perjalanan hendak pulang ke rumah mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian tubuh terutamanya kepala.

"Rodiah  meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggangnya dikejarkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pemandu lori berkenaan yang berusia 35 tahun dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan bagi membantu siasatan.

Polis ragu, bedah siasat reput dibuat semula

TAPAH - Pihak polis yang menemui  mayat  seorang lelaki sudah  berulat  di tepi jalan Kilometer 332.6, Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Bidor Rabu lalu meragui keputusan bedah siasat yang mengatakan kematian lelaki itu disebabkan kecederaan di kepala akibat terjatuh.

Ekoran itu, pihak polis meminta bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital  Tapah  itu dilakukan sekali lagi oleh pakar patologi dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Ketua Polis Daerah  Tapah , Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, walaupun akur dengan keputusan pakar, timbul keraguan bagaimana  mayat  tersebut boleh tiba-tiba berada di tepi lebuh raya.

"Mayat tersebut tiada sebarang pengenalan diri, kenderaan malah kasut milik si mati juga tidak ditemui.

"Saya jangka keputusan bedah siasat semula yang dibuat oleh (HRPB) akan diketahui dalam masa terdekat," katanya.

Jelas Roslan Bek lagi, berdasarkan maklumat awam, pihak polis menemui  mayat  berkenaan dalam keadaan tertiarap, masih lengkap berpakaian cuma tidak berkasut.

"Berdasarkan keadaan  mayat  yang sudah  berulat , pihak polis percaya si mati telah meninggal dunia lebih dua hari sebelum ditemui.

"Sehingga kini identiti sebenar  mayat  itu masih belum diketahui kerana tiada sebarang pengenalan diri dan kenderaan si mati ditemui," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Tapah  semalam.

Katanya lagi, keputusan bedah siasat di Hospital Tapah  mendapati  mayat  berkenaan berketurunan India, bukan Muslim dan berusia lewat 50-an.

"Susuk badan si mati sederhana, berambut kerinting dan mempunyai ketinggian kira-kira 1.63 meter.

"Saya berharap orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dan kenalan boleh menghubungi IPD  Tapah  atau balai polis terdekat untuk membuat pengecaman," katanya.

Kereta bertembung, satu maut

TAPAH - Hasrat empat bersaudara untuk menziarah keluarga di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan yang turut meragut nyawa salah seorang daripada mereka kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, kereta Mercedes Benz yang dipandu  Ismail   Ahmad , 49, bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga di Kilometer 7.2, Jalan Bidor-Teluk Intan dekat sini.

Ketua Polis Daerah  Tapah , Supritendan Roslan Bek  Ahmad  berkata, penumpang tempat duduk hadapan kereta Mercedes Benz, Abdul Murat Mat Nor, 46, meninggal dunia kira-kira 8.30 malam ketika sedang dirawat di Hospital  Tapah  di sini semalam.

Beliau berkata, dua penumpang lain termasuk  Ismail  mengalami cedera ringan, manakala seorang lagi penumpang yang berada di tempat duduk belakang sebelah kanan, Roslan Jaafar, 50, terselamat tanpa sebarang kecederaan.

"Pemandu kereta Proton Saga, K. Kurusamy, 50, dari Taman Kinta, Gopeng dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh kerana patah kaki kanan," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, kereta Mercedes Benz yang dinaiki empat bersaudara itu datang dari Sitiawan sedang menuju ke Kuala Lumpur melalui Jalan Bidor - Teluk Intan.

"Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu  Ismail  terbabas ke laluan sebelah kiri menyebabkan kenderaan melintang di tengah-tengah jalan.

"Kereta Proton Saga yang kebetulan melalui laluan itu dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu merempuh bahagian sebelah kiri Mercedes Benz berkenaan," katanya.

Roslan Bek berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (a) Akta Pe- ngangkutan Jalan 1987.