Translate

Thursday, April 18, 2024

Pesakit tibi kongsi kisah telan sekampit ubat

 Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD AZLI ADLAN

PETALING JAYA – Biarpun sudah berusia lebih berabad lamanya iaitu sejak 1880-an, pe­nyakit tibi masih ada hingga ke hari ini, malah sukar dihapuskan dengan kedatangan warga asing yang membawa bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’.

Penyakit itu disebarkan melalui udara yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada bakteria tersebut.

Mereka yang dijangkiti tibi yang juga dikenali batu kering bukan sahaja perlu menelan sekampit ubat, malah terpaksa menggadaikan kerjaya demi membolehkan diri mendapatkan rawatan sepenuhnya.

Di Melaka, berkongsi pengalaman, seorang bekas pesakit tibi dikenali Ijah 29, berkata, dia disahkan menghidap tibi kelenjar limfa pada 2021 ketika di awal kehamilan anak pertama.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia bekerja dalam bidang perkapalan dan terdedah dengan persekitaran berisiko termasuk interaksi dengan pekerja asing.

“Saya mengalami simptom awal demam, badan menjadi sejuk, tetapi berpeluh-peluh dan selepas tiga hari tiba-tiba ada dua ketulan kelenjar timbul pada leher di sebelah kiri.

“Saya dapat rasakan ketulan itu adalah tidak normal dan terus ke klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan sebelum diberitahu ia adalah tibi kelenjar.

“Difahamkan ada beberapa kemungkinan punca tibi ini antaranya adalah interaksi sosial terutamanya dengan pekerja warga asing,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang hamil tiga minggu terus diselubungi kebimbangan memikirkan risiko kepada bayi­nya dan kesan pengambilan ubat-ubatan dalam tempoh lama.

“Awalnya saya rasa berat hati nak makan ubat sebab 16 jenis ubat perlu ditelan, tetapi atas nasihat doktor, saya teruskan rawatan.

“Doktor turut memberikan jaminan ubat yang diberikan tidak akan memberi kesan kepada kandungan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan terlalu kerap mengambil cuti untuk ke hospital, dia akhirnya berhenti bekerja dan memberikan fokus kepada rawatan diri.

“Saya harap sangat kerajaan dan pihak swasta memainkan peranan memastikan warga a­sing yang dibawa masuk telah melakukan saringan pemeriksaan kesihatan secara sah,” katanya.

Di Kota Bharu, seorang pekerja syarikat swasta hilang pekerjaan dengan gaji lumayan di sebuah kilang di Singapura kira-kira lima tahun lalu selepas menghidap tibi.

Haikal Ramli, 30, berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Singapura selama dua tahun dengan purata pendapatan sebanyak AS$2,000 atau le­bih RM6,000 sebulan.

Menurutnya, dia ketika itu bermastautin di Taman Universiti, Johor Bahru tidak kisah meskipun perlu berulang-alik menyeberang Tambak Johor Johor hampir setiap hari.

Katanya, kehidupan hariannya mula berubah apabila dia mengalami batuk tidak henti selama sebulan sehingga sering tidak hadir ke tempat kerja dua kali seminggu.

“Saya membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di Johor Bahru dan doktor mengesahkan saya ada penyakit batuk kering atau mild tibi.

“Syarikat kemudian mengeluarkan surat pemberhentian kerja kepada saya dalam tempoh se­minggu,” katanya.

Tambahnya, dia terkejut dengan keputusan syarikat apabila dia langsung tidak menerima sebarang pampasan atau wang ihsan selepas diberhentikan kerja.

Setelah itu katanya, dia be­kerja di beberapa syarikat di Johor Bahru sebelum pulang ke kampung halaman di Jelawat, Bachok, dua tahun lalu.

Katanya, setakat ini, keada­an kesihatannya terkawal dan ha­nya mengalami sesak nafas terutama selepas dijangkiti Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.

Berdasarkan statistik, kematian akibat penyakit itu me­ningkat kepada 2,572 kes pada 2022 berbanding 2,288 kematian pada tahun sebelumnya.

Jumlah kes penyakit tibi dalam negara pada tempoh sama juga meningkat sebanyak 3,664 kes kepada 29,055 kes berban­ding 25,391 kes pada 2021.

Wednesday, April 17, 2024

Bulan Ramadan pun buat ‘duit mudah’ curi lembu

 

\Oleh MOHD AZLI ADLAN, AZIZAH SHAFIEI dan ROHANA MOHD. NAWI

PETALING JAYA – Kes kecurian lembu semakin menjadi-jadi di beberapa daerah di Pantai Timur apabila ternakan itu menjadi buruan pencuri ekoran permintaan tinggi terhadap bekalan daging pada musim perayaan ini. 

Kecurian itu menyebabkan penternak menanggung kerugian besar, malah ada yang sudah berputus asa apabila masalah itu bagaikan tiada berkesudahan dan bertekad untuk menjual semua lembu mereka. 

Di Bera, Pahang, kira-kira 28 penternak lembu di Triang tidak dapat tidur lena kerana bimbang ternakan mereka dicuri lagi terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.…

Tuesday, April 16, 2024

Pekerja pelantar minyak ceria pulang sambut lebaran

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MOHD. Shukeri Mohd. Noor, 35, teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali bersama keluarga tercinta selepas dua tahun berjauhan pada pagi 1 Syawal.

Pada tahun lalu, juruteknik pengeluaran Petronas tersebut terpaksa beraya di tengah sa­mudera lantaran tuntutan tugas di pelantar minyak di Laut China Selatan.

Setahun sebelum itu, beliau yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu terpaksa menyambut 1 Syawal di bilik sebuah hotel di bandar raya ini ekoran perlu dikuarantin sebelum menjalankan tugas di pelantar luar pesisir ekoran prosedur penjagaan kendiri pandemik Covid-19.


Shukeri berkata, setelah dua tahun menunggu, akhirnya tahun ini dia dapat beraya bersama isteri, Noradilla Ismail, 30, dan tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun.

Tambahnya, walaupun kebaji­kan pekerja luar pesisir yang bertugas di pelantar minyak pada pagi raya amat terjaga dengan pelbagai aktiviti dan makanan enak, namun suasananya tidak sama seperti menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Tidak sabar untuk menjamah nasi dagang dan ketupat palas air tangan isteri sendiri pada pagi raya,” katanya ketika ditemui sewaktu mendarat di Kuala Terengganu Support Base (KTSB) yang terletak di muara Sungai Terengganu baru-baru ini.

Beroperasi sejak 1 Januari lalu, KTSB berfungsi sebagai hab pertukaran kru bagi industri minyak dan gas di sekitar perairan Semenanjung Malaysia.

Mohd. Shukeri bersama 70 pekerja luar pesisir lain, pulang menaiki dua kapal pengangkut dari pelantar minyak Dulang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari Kuala Terengganu. 


Mereka menggunakan kemudahan KTSB untuk pulang ke kampung halaman selama dua minggu bagi menyambut hari lebaran bersama keluarga masing-masing pada hari tersebut.

“Perjalanan dari pelantar minyak ke KTSB memakan masa kira-kira tiga jam setengah.

“Ia lebih menjimatkan masa berbanding sebelum ini sewaktu kami mendarat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) yang memakan masa lebih lima jam,” katanya.

Tambah Mohd. Shukeri, lokasi KTSB juga strategik hampir dengan pusat bandar raya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan pelbagai kemudahan seperti hotel, stesen bas dan lapangan terbang memudahkan rakan-rakan beliau lain yang ingin pulang ke kampung masing-masing.

Mohd. Shukeri, yang telah berkhidmat di pelantar minyak Petronas sejak 10 tahun lalu berkata, fasiliti pendaratan disediakan KTSB dikendalikan Eastern Paciļ¬c Industrial Corporation Berhad (EPIC) itu selesa dan memuaskan.

“Sebaik turun dari kapal pengangkut, kami akan menjalani pemeriksaan imigresen sebelum mengambil bagasi yang diuruskan sepenuh oleh kru KTSB.

“Memandangkan kami baru sahaja tiba dari luar pesisir, kami perlu menjalani pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebelum melalui pemeriksaan imbasan fizikal,” katanya.


Mohd. Shukeri memberitahu, ini adalah kali kedua dia menggunakan perkhidmatan KTSB untuk pergi dan pulang ke pelantar minyak sejak ia mula beroperasi bermula bulan Januari lalu.

Dia yang akan pulang beraya di kampung halaman isterinya di Kuala Berang, Hulu Terengganu amat berpuas hati dengan per­khidmatan yang diterima beliau di KTSB.

KTSB adalah salah satu komponen utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Kompleks KTSB tersebut dilengkapi jeti pendaratan, kaunter imigresen lengkap dengan mesin pengimbas, surau dan ruang taklimat buat pekerja luar pesisir syarikat minyak dan gas termasuk Petronas.

Setiap hari, purata lima kapal pengangkut yang membawa kira-kira 320 pekerja luar pesisir menggunakan perkhidmatan KTSB. -KOSMO! ONLINE